Saturday, March 12, 2011

TSUNAMI DI JEPUN







TOKYO - Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun berlaku di laut timur Jepun semalam sekali gus mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Pihak berkuasa Jepun berkata, gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter itu menyebabkan beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh (sehingga 11.30 malam waktu Malaysia) dan jumlahnya dilaporkan meningkat dalam tempoh enam jam akan datang.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Kira-kira sejuta penduduk mendiami Sendai yang merupakan sebuah kawasan pertanian utama di Jepun.

Bencana alam itu berlaku pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Khan dalam sidang akhbar semalam mengakui gempa bumi tersebut menyebabkan kerosakan besar di utara Jepun.

Ombak tsunami tersebut membawa tanah dan serpihan sebahagiannya dalam keadaan terbakar menenggelamkan kawasan tanah pertanian di bandar Sendai, timur Jepun yang mempunyai sejuta penduduk.

Sebuah hotel runtuh di bandar Sendai dan ramai orang dipercayai tertimbus di celah runtuhan.


Turut disapu tsunami ialah Iwate, Miyagi dan Aomori.

Gempa Bumi Jepun: Lebih 300 Orang Disahkan Terbunuh
TOKYO: Gempa bumi terkuat tahun ini yang melanda Utara Jepun petang Jumaat pada skala richter 8.9 magnitud telah mengorbankan tidak kurang dari 300 orang setakat ini.

Gempa bumi itu bukan sahaja meranapkan begitu banyak rumah kediaman dan bangunan komersial malah telah mencetuskan ombak tsunami di lautan Pasifik.

Agensi Polis Kebangsaan Jepun yang bertanggungjawab mengumpul maklumat terkini bencana alam itu berkata, 110 people orang telah disahkan terkorban dan 350 orang lagi dilaporkan hilang.

"Jumlah ini belum diambil kira laporan yang mengatakan antara 200 hingga 300 mayat lagi ditemui bergelimpangan di pantai Sendai akibat tsunami," kata agensi tersebut.

100 Rakyat Malaysia Di Kawasan Gempa Bumi Di Jepun Selamat
KUALA LUMPUR: Seratus rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, iaitu tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi di Tokyo disahkan selamat, demikian menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Ahmad Rozian Abdul Ghani.

"Pihak kedutaan telah menghubungi rakyat Malaysia di sini dan sahkan mereka selamat. Tidak semua dapat kita hubungi kerana ada antara mereka pulang bercuti ke Malaysia atau wilayah berhampiran ekoran cuti semester ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Daripada jumlah itu, katanya 67 orang adalah pelajar, 43 di universiti di Miyagi, 18 di Iwate dan enam di Aomori.

Pelajar dan rakyat Malaysia juga telah sedia maklum langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan seperti hadir ke pusat-pusat evakuasi yang disediakan pihak kerajaan tempatan seperti yang sentiasa dimaklumkan kepada mereka sebelum ini, katanya.

Laporan media asing berkata, gegaran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter telah melanda timur laut Jepun menyebabkan bangunan-bangunan di Tokyo bergegar dan bergoncang selama beberapa minit, memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing.

Berikutan itu, amaran tsunami telah dikeluarkan di beberapa buah negara termasuk Filipina, Indonesia, Papua New Guinea dan Fiji.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berkata, gempa kuat itu telah menyebabkan beratus-ratus ribu pengguna komuter terkandas di stesen kereta api bawah tanah berikutan perkhidmatan itu ditangguhkan.

Restoran berhampiran stesen kereta api sesak dengan kebanjiran penumpang kereta api yang mendapatkan perlindungan daripada cuaca sejuk, katanya.

"Orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam selepas talian telefon bimbit mengalami kesesakan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama hari ini.

Yong berkata, kedutaan Malaysia di Tokyo kini bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som dilaporkan sedang menghadiri seminar ketika gempa itu berlaku dan bergegas pulang ke kedutaan untuk memantau operasi.

Banyak gambar dan fail di pejabat kedutaan dilaporkan jatuh ke lantai ketika gempa kuat itu berlaku.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kedutaan Malaysia di Tokyo akan meneliti perkembangan bencana itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung gempa tersebut.

"Tiada laporan berhubung kematian di kalangan rakyat Malaysia setakat ini dan semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat," kata kenyataan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

tajuk post

Nuffnang

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...